KEUSAHAWANAN LEBAH KELULUT

 

KIAS tawar subjek alternatif keusahawanan

 

Azwari Mohamad (tengah) menunjukkan sarang madu kelulut sempena Ekspo Keusahawanan anjuran Universiti Malaysia Kelantan di Kota Bharu, baru baru ini. 
 
 
KOTA BHARU 1 Jan. - Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di sini menawarkan program kemahiran keusahawanan sebagai mata pelajaran alternatif bagi membolehkan penuntutnya melibatkan diri dalam sektor berkenaan selepas menamatkan pengajian.

Timbalan Ketua Eksekutif (Akademik) KIAS, Dr. Idris Awang berkata, program itu termasuk memberikan latihan dalam pelbagai bidang keusahawanan mengikut minat pelajar.

Katanya, di samping pengajian wajib yang diambil ada peringkat ijazah dan diploma seperti usuluddin, syariah, bahasa Arab, kewangan Islam dan tahfiz al-Quran, pelajar KIAS juga digalakkan untuk menyertai program kemahiran yang ditawarkan.

"Matlamatnya ialah apabila penuntut menamatkan pengajian, bidang kemahiran itu membolehkan mereka menceburkan diri dalam bidang berkenaan dan mampu menjana sumber pendapatan sendiri," katanya semasa Ekspo Keusahawanan anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini baru-baru ini.

Menurut Idris, setakat ini program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dan lebih 500 penuntut telah mengikuti bidang ditawarkan terutama perniagaan.

Sementara itu, penuntut syariah, Mohd. Azwari Mohamad, 27, menyifatkan program berkenaan berjaya memberi pengetahuan tambahan kepada dirinya sebelum menceburi bidang keusahawanan secara lebih serius selepas tamat pengajian kelak.

Katanya, dia melibatkan diri dalam bidang ternakan lebah kelulut di rumahnya di Bachok hampir 10 tahun lalu, tanpa menerima sebarang latihan secara formal.

"Saya menjadikan aktiviti ternakan kelulut sebagai sebahagian daripada program pengajian alternatif semasa di kolej dan mendapat pengetahuan lebih mendalam cara melaksanakan ternakan kelulut dengan lebih teratur.

"Pada permulaan, saya hanya dapat menghasilkan antara 200 hingga 500 gram madu kelulut sebulan tetapi kini meningkat kepada 10 kilogram sebulan," katanya yang menjual madu kelulut  kepada rakan-rakan dan orang kampung.

Artikel Penuh: UTUSAN ONLINE
© Utusan Melayu (M) Bhd