Golongan muda disaran ceburi ternakan lebah kelulut
KOTA BHARU 27 Feb. - Jabatan Pertanian menggalakkan golongan muda terutama siswazah menceburi industri ternakan lebah kelulut yang mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Kamal Baharuddin berkata, jabatan itu menyediakan pelbagai intensif kepada individu yang berminat termasuk bantuan modal sebanyak RM10,000 untuk memulakan projek serta khidmat nasihat dan latihan.
Katanya, hanya segelintir yang menunjukkan minat terhadap industri itu memandangkan ramai yang berpendapat industri tersebut masih dijalankan menggunakan teknik tradisional seperti penggunaan cangkul dan tanah.
"Kita lihat golongan pelapis atau generasi yang lebih muda telah mula menunjukkan minat terhadap projek ini, untuk itu kita telah menyediakan platform yang lain secara komersial tapi melibatkan teknologi yang mana kerja yang dilakukan lebih diterima oleh golongan muda iaitu tidak lagi menggunakan tanah mahupun cangkul.
"Ramai yang menyertai latihan yang disediakan termasuk mereka yang bekerja, namun sanggup meletak jawatan semata-mata untuk menjalani latihan serta memohon menjayakan projek ini," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd