Madu kelulut jana pendapatan

MOHD. Shafie Apdal bersama Zulkifli
Zambri (kanan) menunjukkan tanda bagus dengan memegang Madu Lebah
Kelulut sambil diperhatikan Ibrahim Muhamad (kiri) dan Zainal Abidin
Osman (tengah) di Putrajaya, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, projek berkenaan diyakini mampu memberi pulangan lumayan kerana boleh dilaksanakan dengan cepat, kos yang rendah serta pulangan pendapatan cepat.
Beliau berkata, untuk permulaan, projek madu lebah kelulut akan dilaksanakan di 18 buah kampung di seluruh negara melalui Program Desa Lestari sebagai pengenalan sebelum kementerian memperluaskan projek berkenaan di kawasan lain.
"Jika berjaya, kementerian tidak menolak kemungkinan turut memperkenalkan projek ini kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Felcra Berhad (Felcra) untuk dijadikan punca ekonomi sampingan kepada peneroka.
Menurut Mohd. Shafie, berdasarkan kepada permintaan madu yang tinggi sama ada di pasaran tempatan dan luar negara, kementerian yakin ia merupakan peluang yang amat baik kepada penduduk luar bandar untuk mempelopori industri ini.
"Saya yakin projek ini akan memberi pulangan yang lumayan, anda bayangkan jika penduduk yang terpilih membela 100 sarang lebah kelulut, mereka akan mendapat pulangan kira-kira RM35,000 sebulan dan harga semasa madu lebah kelulut ialah RM120 sekilogram," katanya.
Sementara itu katanya, lebah Kelulut merupakan antara 33 jenis spesies lebah trigona yang tidak mempunyai sengat dan madunya dikatakan mempunyai banyak khasiat untuk memulihkan pelbagai penyakit kronik.
"Berbeza dengan kebanyakan lebah, kelulut tidak berbahaya kepada manusia dan madu yang dihasilkan sangat berguna dalam bidang perubatan dan kesihatan.
"Selain madu, dua lagi bahan dihasilkan oleh lebah kelulut yang sangat istimewa ialah bee bread iaitu campuran polen dengan madu, air liur dan cairan dari perut lebah yang boleh membantu masalah pencernaan dan fermentasi," katanya.