Kolonek Berhad ceburi industri ternak lebah kelulut

Nur Hafiza Mohd. Zin (dua dari kiri)
bersama ahli Kolonek melihat sarang lebah kelulut di Homestay Lonek,
Jempol, Negeri Sembilan, semalam.
Pengurus projek, Nur Hafiza Mohd. Zin, 26, berkata, projek tersebut telah dimulakan pada Oktober tahun lalu dengan berbekalkan 50 sarang lebah kelulut untuk peringkat permulaan.
"Pada Januari lalu kita tambah ke fasa kedua dan kini terdapat 100 sarang lebah kelulut di inap desa ini. Peringkat awal kami menghadapi masalah apabila lebah kelulut tersebut mengeluarkan hasil yang agak sedikit sahaja.
"Selepas beberapa kali meningkatkan penjagaan lebah kelulut ini akhirnya mengeluarkan hasil dalam jangka masa tiga minggu," katanya ketika ditemui di inap desa Lonek, dekat sini hari ini.
Katanya lagi, idea menceburi industri tersebut bermula apabila inap desa ini mendapat dana bernilai RM2.6 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di bawah program Desa Lestari Abad Ke-21.
"Kami memilih projek lebah kelulut kerana ia mudah dijaga dan mendapat permintaan tinggi di pasaran. Madu dari lebah kelulut ini boleh dijual dengan harga RM120 ke RM200 setiap kilogram.
"Selain projek lebah kelulut, kami juga kini dalam proses pembinaan lima buah chalet, tapak perkhemahan serta telah membeli tiga buah van untuk kegunaan pengunjung di sini," ujarnya.
Tambah Nur Hafiza, pihaknya yakin bahawa kemudahan dan penambahbaikan di inap desa ini serta kerjasama daripada pihak Kolonek Berhad, usaha itu mampu meningkatkan jumlah pengunjung pada tahun ini.
"Kita turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar inap desa ini dan untuk projek lebah kelulut ini sahaja, ia kini diuruskan oleh 12 orang ahli koperasi.
"Hasil latihan yang diterima mereka daripada agensi swasta, kita optimis madu kelulut ini dapat dipasarkan bulan hadapan," ujarnya.